
UPM, UPSI TERIKAT SERI 2-2
Oleh: Hanim Junaibi
Oleh: Hanim Junaibi
Kuala Lumpur, 10 Mac; Perlawanan TM Uni League antara pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Kompleks Sukan UPM menyaksikan aksi hambar pasukan tuan rumah pada babak pertama.
UPSI bermula garang dengan cubaan demi cubaan dalam mengharapkan keajaiban untuk menumpaskan pasukan UPM yang gah di tahta TM Uni League. Seawal minit kelapan, UPSI membuka jaringan pertama menerusi rembatan kencang Rozaimee Che Mat Zin. UPSI dengan mudah mendahului permainan berikutan pasukan lawan telah menjatuhkan seorang pemain UPSI lalu dihadiahkan dengan sepakan percuma.
Pada minit ke-14, percubaan Mohd. Amri Mohd. Ramli gagal menepati sasaran apabila rembatannya tersasar ke luar gawang gol. Namun pada minit ke-18, tendangan Mohd. Amri lebih fokus dan tepat ke gawang gol. Ternyata walaupun berada pada kedudukan tiga terbawah liga, UPSI mampu tampil bertenaga dan menundukkan peneraju liga dalam separuh masa pertama.
Permulaan babak kedua pula menyaksikan pasukan UPM bangkit dari tidur yang lena. Pada minit ke-49, percubaan Mohizam Shah Dawood Shah nyata menjadi. Penjaga gol UPSI, Sanusi Jusoh gagal menghentikan bola yang dirembat kemas oleh Mohizam.
Enam minit selepas gol pertama UPM dijaringkan, penyokong pasukan tersebut bersorak lagi apabila tendangan jauh ke tengah padang oleh penjaga gol UPM, Shahruddin Ab. Rahman, disambut baik Ahmad Syukor Elias yang kemudiannya menghantar bola ke arah Mohizam. Mohizam bijak menggunakan peluang yang ada, lantas menyumbat gol kedua buat pasukan UPM.
Kedudukan kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga ke akhir babak kedua. Sementara itu, jurulatih pasukan UPM, Saheh Said berkata, “Permainan malam ini agak sengit. Namun saya berterima kasih kepada pasukan saya kerana memberi persembahan cemerlang. Saya harap UPM akan berjaya dalam perlawanan menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) nanti”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan